Thu04242014

LAST_UPDATEThu, 24 Apr 2014 8pm

Bangunan MPJBT Terbakar?

Pic : Sinar Harian Pic : Sinar Harian JOHOR BAHRU : Orang ramai yang berada di sekitar perkarangan Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) terkejut apabila melihat kepulan asap hitam tebal dari tingkat tiga bangunan berkenaan.

Malah kejadian jam 10.12 pagi memeranjatkan semua kakitangan sebelum bunyi siren kecemasan memecah kesunyian pagi itu.

Kelihatan kira-kira 350 kakitangan bergegas menuruni laluan kecemasan untuk keluar dari bangunan berkenaan seterusnya menuju ke kawasan lapang berhampiran dan berhimpun untuk menyelamatkan diri masing-masing.

Kurang daripada 12 minit kemudian, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat cawangan Taman Universiti, di sini, tiba di lokasi kejadian seterusnya memadam kebakaran.
Dalam keadaan yang cemas itu, tiga staf MPJBT diberitahu gagal keluar dari lokasi kebakaran kerana mengalami kecederaan.

Atas kecekapan pasukan bomba akhirnya berjaya menyelamatkan mereka dan diberikan rawatan kecemasan sebelum dihantar ke hospital. Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya sekitar jam 10.30 pagi.

Bagaimanapun, kejadian itu hanya sekadar latihan yang dirancang oleh MPJBT sebagai usaha siap siaga menghadapi kebakaran sekiranya benar-benar berlaku.

Setiausaha MPJBT, Farizal Ismail berkata, latihan pertama kali diadakan itu dianjurkan bagi mengenal pasti kelemahan pada operasi berkenaan.

Menurutnya, pihaknya akan memperbetulkan mana-mana prosedur yang boleh mempercepatkan aktiviti memadam kebakaran dan menyelamatkan mangsa.

“Latihan kebakaran seumpama ini adalah pertama kali diadakan sejak kira-kira 30 tahun MPJBT ditubuhkan.

"Objektifnya adalah untuk memberi peluang kepada Pasukan Keselamatan Kebakaran MPJBT yang terdiri daripada 70 orang memantapkan kemahiran mereka ketika menghadapi kecemasan.

“Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan oleh semua pihak. Saya berharap program ini akan dilaksanakan secara berterusan dan sekurang-kurangnya setahun sekali,” katanya.

Selain itu, kakitangan MPJBT turut diberi tunjuk ajar tentang cara-cara memadamkan kebakaran menggunakan alat pemadam api.

 

 

 

 

 


Sinar Harian
http://www.sinarharian.com.my/bangunan-mpjbt-terbakar-1.221509

 

 

 

 

Template Design Joomla